Thursday, April 21, 2011

Hiasan Duniawi



Wanita digelar penyeri dunia dan hadirnya melengkap hubungan manusia.

Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka hati, fikiran dan jiwa lelaki akan resah.

Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namum Nabi Adam a.s tetap rindukan teman pendamping diri iaitu Siti Hawa.

Wanitalah yang dipanggil ibu, isteri ataupun puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi jikalau lelaki sendiri yang tidak lurus, maka akan sukarlah meluruskan mereka.

Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Justeru, luruskanlah wanita dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Luruskanlah mereka mengikut panduan dariNya.

Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, bimbang mereka semakin liar.

Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, khuatir nanti mereka akan binasa.

Akal setipis rambut, tebalkan dengan limpahan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkanlah dengan iman. Jiwa selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.

Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah SWT, zat yang kekal kerana Dialah pencipta wanita. Hanyalah Dia yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.

Wanita,

Tercipta dari rusuk lelaki,

Bukan dari kaki untuk dialasi,

Bukan dari kepala untuk dijunjung,

Tetapi dekat dibahu untuk dilindungi,

Dekat jua di hati untuk dikasihi.

Suburkanlah hati mereka dengan keimanan kerana disitulah titik tolak untuk mereka lihat nilaian dan keadilan Tuhan.

Pasti terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara.

Kelembutan bukan suatu kelemahan. Bukan jua diskriminasi Tuhan. Sebaliknya itulah hiasan mereka, dan bukti kasih sayang Tuhan terhadap mereka.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil dan Maha Penyayang.

Tidak akan lahir seorang lelaki hebat tanpa wanita. Tidak akan lahir seorang presiden negara tanpa wanita. Tidak akan lahir seorang jutawan tanpa wanita.

Namun, wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan.

Tanpa iman, ilmu dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula yang membengkokkan.

Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh wanita daripada wanita yang dirosakkan oleh lelaki. Waima sebodoh-bodoh wanita mampu menundukkan sepandai-pandai lelaki.

Itulah natijahnya apabila wanita tidak kenal pencipta mereka. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki.

Kini bukan saja ramai 'boss' telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Ingatlah, pabila wanita derhaka.. dunia lelaki akan menjadi huru-hara. Apabila patahnya tulang rusuk, rosaklah jantung, hati dan limpa.

Buat lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan.

Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu menuju redha Ilahi.

Abadikanlah diri kepada Yang Esa, nescaya akan mudahlah segala urusan dibawah pimpinan kita.


Monday, April 18, 2011

Bertudung Atau Berfesyen?

Bertudung atau berfesyen? Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.

Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.

Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.

Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna.

Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya.

Juga ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik.

Malah labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.

Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.

Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.

Sombong makin bertambah, lalu jalan mendabik dada.

Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.

Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan.

Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia.

Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan.

Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang.

Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki.

Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas.

Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya.

Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.

Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam.

Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung.

Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan.



Wednesday, April 13, 2011

Anugerah Musibah

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya. (157) (Surah Al Baqarah 2: 155-157 )

Daripada Musibah, Menjadi Anugerah Andai Positif!

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.


Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Dengan Musibah yang Allah berikan, bersangka baiklah, dan berpositiflah:

1. Dengan musibah, manusia umumnya akan berdoa. Berdoa itu PAHALA.

2. Dengan musibah, manusia umumnya akan merasa rendah diri, insaf dan bertaubat. Ia juga PAHALA.

3. Dengan musibah, manusia memperbaiki diri lalu meninggalkan kejahatan dan melaksanakan kebaikan. Ia PAHALA.

4. Dengan musibah, manusia belajar dari kesilapan. Ia menjadi ILMU dan GURU paling BERMAKNA.

5. Dengan musibah, manusia akan bersabar berdasarkan iman. Bersabar mendatangkan PAHALA

6. Dengan musibah, manusia akan mengingati pencipta, yakni Allah. Ia PAHALA.

7. Dengan musibah, manusia mengingati kematian. Ia Pelembut Hati.

Anda boleh tambah lagi pengalaman anda melalui musibah di ruangan komen di bawah. Semoga ia mendatangkan manfaat, dan menjadi amal jariah ketika kita di pusara.


Tuesday, April 12, 2011

15 Ciri Wanita Syurga


2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya,rasul-rasul- Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

Wednesday, April 6, 2011

Pelangi Selepas Hujan


Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.

Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.

Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.

Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.

Pernahkah sekali kita memahami alam?

Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?

Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang?

Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.

Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?

Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?

Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?

Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?

Jawapanya...:

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan.

Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.